Showing posts with label Bajet 2012. Show all posts
Showing posts with label Bajet 2012. Show all posts

Saturday, 1 October 2011

Bajet 2012, PRU 13 dan ISA antara perkara tumpuan dalam Persidangan Dewan Rakyat

Persidangan Parlimen yang bermula Isnin ini bakal menjadi tumpuan umum dan lebih menarik kerana selain Dewan Rakyat bersidang di premis baru, ramai mengharapkan berita 'luar biasa' pada sesi pembentangan Bajet 2012.

Persidangan Dewan Rakyat itu dianggap penting kerana cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijangka dibahaskan oleh anggota Parlimen selepas 51 tahun akta itu diguna pakai di negara ini.

Mengikut takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Rakyat akan bersidang mulai Isnin ini sementara Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Okt ini

Mesyuarat Dewan Rakyat itu sehingga pertengahan Disember ini juga berkemungkinan besar merupakan sesi Parlimen terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Penggunaan bangunan dewan serbaguna sedia ada untuk dijadikan Dewan Rakyat yang baru mencipta sejarah kerana ia merupkan julung kali mesyuarat diadakan di premis lain sejak perasmiam dan penyerahan bangunan itu pada 2 Nov 1963.

Terletak bersebelahan bangunan utama Parlimen, dewan sementara itu dinaik taraf dengan kos RM28 juta bagi menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Projek itu dilaksanakan bagi membolehkan bangunan Parlimen yang sudah berusia hampir lima dekad, melalui pengubahsuaian struktur secara menyeluruh, bagi menyelesaikan masalah kerosakan yang sering berlaku sebelum ini.

Projek naik taraf bangunan Dewan Rakyat sedia ada akan dilaksanakan tahun depan dan dijangka siap pada 2014.

Dewan Rakyat akan terus bersidang menggunakkan premis baru itu secara sementara sahaja sebelum dipindahkan semula ke tempat asal selepas kerja-kerja menaiktaraf itu disiapkan.

Menariknya, dewan sementara itu yang lebih kecil dari Dewan Rakyat telah menyebabkan kedudukan kerusi anggota Parlimen lebih dekat, sekali gus memungkinkan suasana perdebatan lebih gamat, terutamanya jika berlaku perang mulut antara anggota dewan.

Di dewan itu juga, sesi pembentangan Bajet 2012 sudah dikaitkan sebagai 'Bajet Pilihan Raya' kerana ada desas-desus yang mengatakan penjawat awam dijangka sekali lagi akan menikmati kenaikan gaji dan imbuhan bonus.

Dari segi isu, perdebatan berhubung pemansuhan ISA dan dua akta baru untuk menggantikannya serta pembentangan beberapa akta lain diramal menarik minat anggota Dewan Rakyat.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini dewan masih belum dimaklumkan mengenai urusan pemansuhan Akta ISA, namun ia dijangka akan dikemukakan pada persidangan itu.

"Kerajaan mempunyai masa yang lama iaitu sehingga pertengahan Disember ini untuk memaklumkan sebarang urusan kepada dewan, dan pada pandangan saya ia akan dikemukakan pada persidangan kali ini bersekali dengan beberapa lagi rang undang-undang lain," katanya kepada Bernama.

Mengenai pandangan pemansuhan ISA bakal 'menghangatkan dewan', Wan Junaidi berkata, ia bergantung kepada anggota Parlimen, namun beliau sendiri tidak melihat isu itu perlu disensasikan.

"Pengumuman yang dibuat itu adalah untuk kebaikan semua dan demi imej negara, saya tidak nampak perlunya untuk timbulkan kekecohan dalam isu ini," katanya.

Ekoran pemansuhan ISA, kerajaan sedang merangka dua akta baru untuk menggantikannya yang kini sedang diperincikan oleh Peguam Negara.

Selain ISA, kerajaan juga dijangka akan mengemukakan Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 dan menghapuskan prinsip pembaharuan tahunan bagi permit pencetakan seperti yang termaktub di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Permit pencetakan akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Selain itu, pindaan ke atas Akta Pekerjaan 1955 juga mungkin mencipta kontroversi, lebih-lebih lagi apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bercadang untuk mengadakan piket di perkarangan bangunan Parlimen pada Isnin ini, jika kerajaan meneruskan rancangan meminda undang-undang pekerjaan itu.

Rang undang-undang berkenaan pertama kali dibentangkan di Parlimen pada 8 Julai 2010, tetapi ditarik balik kemudian selepas menerima pandangan dari pelbagai pihak.

Sumber dari Bernama
Baca Lagi......
P/S:Tengok dulu promosi mereka sedang buat kat sini.

Thursday, 29 September 2011

BAJET 2012: NAJIB KAJI BONUS LUMAYAN ATAU NAIK GAJI SEKTOR AWAM


Datuk Seri Najib Razak sedang mempertimbangkan bonus lumayan atau kenaikan gaji bagi 1.3 juta kakitangan kerajaan — bakal diumumkan menerusi Bajet 2012 untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan juga menjamin sokongan tenaga kerja sektor awam pada pilihan raya umum ke-13.
The Malaysian Insider difahamkan perdana menteri telah meminta Kementerian Kewangan agar mengkaji kos kedua-dua opsyen itu.
Langkah itu mirip pendekatan diambil bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007, setahun sebelum menjelang pilihan raya umum ke-12.
Ketika itu Abdullah mengumumkan kenaikan gaji bagi 1.02 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.
“Najib sedang mempertimbangkan bonus satu bulan setengah untuk dibayar akhir tahun ini atau menaikkan gaji apabila mengumumkan Bajet 2012. Ia bajet menggunakan segala wang yang ada,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Najib (gambar) yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.
Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri. Ia melibatkan kerajaan kos RM2 bilion.
Kakitangan awam lazimnya dilihat sebagai asas sokongan bagi Barisan Nasional (BN) tetapi perikatan itu berhadapan dengan prestasi buruk pada Mac 2008 meskipun Abdullah mencatatkan penguasaan 91 peratus kerusi di Parlimen.
Najib berusaha untuk keluar daripada situasi 2008 dengan mengumumkan beberapa pembaharuan termasuk mahu memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagaimana diumumkan Khamis lalu.
“Perdana Menteri perlu mengatasi isu-isu asas termasuk ekonomi. Bajet akan mengatasi isu sara hodup selepas pemotongan subsidi baru-baru,” kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider.
Baru-baru ini Cuepacs, kesatuan sekerja induk sektor awam, menuntut bonus dua bulan.

Baca Lagi......
P/S:Tengok dulu promosi mereka sedang buat kat sini.

KWSP harap Bajet 2012 lanjut umur bersara swasta, gaji minimum


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata tindakan melanjutkan umur persaraan itu diharap diumumkan pada pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.
“Saya berharap (umur persaraan) pada 58 tahun, jika tidak 60 tahun,” kata dipetik Berita Harian selepas hari ini.
Berucap pada satu majlis di ibu negara semalam beliau juga berharap gaji minimm dimasukkan dalam bajet tahun depan.
Semalam, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa kerajaan sedang menggubal satu undang-undang baru khusus bagi menaikkan umur persaraan pekerja sektor swasta sehingga 64 tahun dengan  had bersara mandatori 60 tahun.
Di bawah akta baru yang bakal dinamakan undang-undang umur persaraan sektor swasta, seseorang pekerja hanya akan bersara apabila mencapai usia 60 tahun, dan jika khidmatnya masih diperlukan, pekerja terbabit boleh dilanjutkan khidmat mereka selama empat tahun lagi.
“Bermakna usia persaraan akan dilanjutkan daripada 55 tahun pada masa sekarang kepada 60 tahun dan seseorang pekerja masih berupaya dan diperlukan, dia boleh terus bekerja selama empat tahun lagi,” kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor kepada The Malaysian Insider.
The Malaysian Insider difahamkan perubahan itu akan membawa pindaan ke atas Akta Kerja dan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Jika perubahan itu menjadi kenyataan ia akan memanfaatkan hampir enam juta pekerja.
The Malaysian Insider juga difahamkan kesemua pihak berkepentingan telah melahirkan persetujuan ke atas undang-undang baru ini kecuali satu wakil majikan.
Halim berkata perkara itu telah dihalusi oleh jawatankuasa teknikal yang mengkaji rang undang-undang tersebut tetapi MTUC mahu aspek kebajikan dan ganjaran pekerja turut diambil kira.
Sebelum ini, MTUC telah menggesa kerajaan supaya melanjutkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun sebagai langkah untuk menggunakan dengan optimum tenaga kerja negara ini.
Sektor swasta mengikut umur persaraan sektor awam sebelum ini iaitu 55 tahun kerana tidak ada undang-undang yang mensyaratkan sektor swasta menetapkan had umur persaraan.

Sumber themalaysianinsider.com
Baca Lagi......
P/S:Tengok dulu promosi mereka sedang buat kat sini.

Wednesday, 28 September 2011

Bajet 2012 - Kakitangan diramal naik gaji lagi

Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.
Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.
Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.
Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya.
 
Baca Lagi......
P/S:Tengok dulu promosi mereka sedang buat kat sini.

Bajet 2012 - CEUPACS Optimis Najib akan laksana 80 peratus tuntutan

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pihaknya telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas dan mengharapkan berita baik bakal diumumkan bagi menjaga kepentingan penjawat awam di negara ini.

"Ini adalah keputusan kongres berdasarkan kepada permintaan dari penjawat awam, saya harap ia dapat dipertimbangkan malah Skim Saraan Malaysia (SSM), dapat digubal semula untuk menjadi lebih baik dari segi penambahan gred, struktur gaji dan peningkatan peluang kerjaya bagi mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama CUEPACS Pulau Pinang di sini, Selasa.

Tuntutan tersebut adalah semakan semula SSM, menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Omar berkata Cuepacs juga yakin dengan keprihatinan Perdana Menteri dan kemampuan kerajaan dapat memenuhi tuntutan itu yang sememangnya diharap-harapkan oleh lebih 1.2 juta penjawat awam.

"Kesemua tuntutan itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan dan tidak mustahil untuk ditunaikan kerana ada tuntutan yang tidak membabitkan kewangan," katanya.

Berkenaan tuntutan pemberian bonus dua bulan, katanya jika kerajaan berbuat demikan, ia akan mencipta sejarah baru dalam memenuhi permintaan penjawat awam.

"Diharap (bonus) dapat dipertimbangkan, kalau tidak dapat bonus dua bulan, sekurang-kurangnya (kerajaan) dapat memberi bonus sebulan atau sebulan setengah pun sudah dikira mencukupi," katanya.

Sumber dari CEUPACS
Baca Lagi......
P/S:Tengok dulu promosi mereka sedang buat kat sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...